Memaparkan catatan dengan label contoh karangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label contoh karangan. Papar semua catatan

Isnin, 14 Januari 2013

CONTOH KARANGAN


USAHA-USAHA UNTUK MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

KESAN PEMANASAN GLOBAL


KESAN PEMANASAN GLOBAL

Bumi kini sedang mengalami “demam panas” akibat pemanasan global yang turut membawa bersamanya iklim dunia yang semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai malang.

Tetapi, bagaimanakah pula bagi mereka yang terselamat? Adakah mereka bebas daripada sebarang ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi? Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun.

Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan jumlah gas-gas karbon yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.

Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk teruk daripada biasa. Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang ‘kepanasan’ ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi daripada kebiasaannya.Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini, sementara negara seperti Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005. Pada tahun 2006, sepuluh negara yang paling teruk dilanda bencana alam ialah Filipina, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, Ethiopia, India, China, Afghanistan, Amerika Syarikat dan Romania.

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin teruk jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak dan warga emas yang sering dilihat menjadi mangsa pertama kejadian bencana.Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'.

Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit pneumonia atau radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain. Sesetengah kawasan turut berhadapan dengan masalah dehidrasi yang teruk berikutan kemarau panjang yang berpunca daripada gelombang panas dan peningkatan paras air laut yang mencemari sumber air tawar dengan air masin dari laut.

Peningkatan suhu juga akan menggalakkan pembiakan vektor seperti tikus, nyamuk,kutu dan pepijat. Penyebaran vektor seperti nyamuk menyebabkan penyakit seperti malaria, denggi dan demam kuning yang mula dicatatkan di Eropah dan kawasan yang dahulunya beriklim sejuk. Hal ini terbukti apabila negara beriklim sejuk seperti Nepal dan Bhutan mencatatkan kes malaria pertama di kawasan-kawasan tanah tinggi dua negara tersebut. Sementara itu, tikus juga dilihat dapat membiak dengan lebih mudah dalam cuaca panas dan lembab ini. Haiwan ini mampu menyebarkan penyakit Leptopirosis dan Legionellosis yang disebarkan melalui kuman yang ditinggalkan bersama urin atau najis tikus.

Ketika banjir, tahap kebersihan amat sukar untuk dijaga terutama kebersihan air. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang rami kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan segai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , disentri dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan kes bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.

Tanggungjawab memulihara alam sekitar perlu dipikul oleh semua penduduk dunia dan tidak sepatutnya dibiarkan kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata pepatah 'yang ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul'. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana 'sikap tamak membawa kerugian'. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.

Ahad, 13 Januari 2013

CONTOH KARANGAN

PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK



Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2008, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nik Nor Madiha yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 19A1 dan 1A2 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2008. Kejayaan ini adalah kerana Nik Nor Madiha mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau walaupun beliau daripada keluarga miskin. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.
Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.
Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja kerasdengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.
Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Siti Fatimah Mukthar yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan . Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.
Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebingdan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

Cari Blog Ini